Pengikut

Sabtu, 23 Februari 2013

Jumaat, 22 Februari 2013

Makanan Kambing di Agro Tani D'Villa

Salam satu Malaysia......

Berjumpa kembali dalam entri terbaru saya di blog Agro Tani D'Villa. Sebelum ini saya telah memuatkan berita mengenai kelahiran anak-anak kambing di Kandang Agro Tani D'Villa, iaitu dari induk kambing Boer dan kambing kampung. Saya ringkaskan maklumat mengenai anak-anak kambing tersebut seperti berikut. 

Bil
Tarikh Kelahiran
Jantina
Berat Semasa Lahir
Catatan
1.
9 Februari 2013
Jantan
2.6 kg
Baka Boer
2.
11 Februari 2013
Betina
1.450 kg
Boer + Kampung

Sekarang ini, anak-anak kambing tersebut telah 2 minggu dilahirkan. Berat dia pun dah semakin meningkat. Ini berdasarkan pemerhatian yang saya lihat dari segi fizikal anak-anak kambing tersebut yang semakin bertambah. Masa saya mengendongkan anak-anak kambing tersebut pun terasa beratnya jika dibandingkan semasa ia baru dilahirkan.

Dalam entri ini saya ceritakan sedikit tentang sumber-sumber makanan utama bagi kambing-kambing di Agro  Tani D'Villa serta peralatan yang ada. Kambing-kambing ini saya beri makan rumput-rumput yang tumbuh meliar di semak dan tepi jalan. Kira rumput tempatan lah tu. Tumbuh dekat tepi rumah pun saya ambil untuk diberi makan untuk kegunaan kambing saya. Mula-mula dulu, saya akan ikat dan tambat kambing saya sebelah pagi di tempat yang ada tumbuhnya rumput untuk diberi makan. Sebelah petang baru saya akan bawa naik ke kandang. Dalam pada itu, saya rajin membaca blog tentang ternakan kambing di dalam internet. Dari situ baru saya tahu ada sumber makanan yang lebih efektif untuk ternakan kambing. Antaranya baja, rumput napier, dan garam jilat. Saya telah berhubung dengan rakan-rakan ternak antaranya dari semenanjung dan juga Sarawak. Saya membuat pesanan untuk garam jilat dan juga rumput napier dari syarikat Agro As-Sakinah kalau tak silap saya. Rumput-rumput napier dijual ikut ruas iaitu 20 sen seruas. Kalau nak beli guna kilo juga boleh. Pada waktu itu saya membeli 10 kg benih rumput napier. Kosnya mahal disebabkan caj pos laju ke alamat saya di Serian, Sarawak. Apabila benih tersebut sampai, saya terus tanam. Saya tanam di dua tempat iaitu di luar pagar kandang kambing saya, dan di belakang rumah arwah ibu bapa saya. Yang saya tanam dekat tepi pagar tak hidup, sebab kawasannya berendam dengan air apabila hujan dan air pasang naik. Jadi kawasan tersebut memang tak sesuai untuk ditanam dengan rumput napier tersebut. Mujurlah yang saya tanam dekat belakang rumah arwah ibu bapa saya ada yang hidup. Itu pun sedikit. Saya biarkan rumput tersebut tumbuh tinggi terlebih dahulu sehingga menampakkan ruasnya. Apabila sudah pasti ruasnya dah boleh dipotong, saya tebang rumput napier tersebut. Ruas-ruas rumput napier yang telah siap saya potong tadi seberat 4 kg. Rumputnya pulak saya beri pada kambing untuk dimakan.

Benih napier seberat 4 kg tadi saya tanam keesokan harinya di tepi jalan dekat kebun arwah ibu bapa saya. Sebelum itu, tanah tepi jalan tersebut dah saya racun dengan racun rumpai seminggu sebelum nya. Kawasan yang saya tanam dengan rumput napier tersebut kecil sahaja keluasannya. Jadi saya ambil inisiatif untuk tanam benih jagung di kawasan yang masih lagi belum saya tanam. Selang beberapa hari pucuk-pucuk rumput napier mulai keluar dari ruas rumput napier yang saya tanam. Begitu juga dengan anak-anak jagung mulai tumbuh. Saya bubuh baja pada rumput napier dan jagung yang saya tanam. Selang hampir dua bulan kemudiannya, saya tebang pokok-pokok jagung dan bolehlah diberi makan pada kambing-kambing saya. Buahnya saya makan sendiri bersama keluarga. Pokok-pokok rumput napier saya pun dah boleh ditebang. Seperti biasa, ruas-ruas rumput napier tersebut saya asingkan terlebih dahulu dari daunnya untuk saya potong dijadikan sebagai benih yang baru untuk ditanam. Daunnya pula saya hancurkan dengan mesin menghancurkan rumput yang baru saya beli pada 21 Januari 2013 jenama LEO. Fungsi asalnya adalah untuk menghancurkan ranting-ranting kayu, tapi saya gunakan untuk menghancurkan rumput dan batang jagung untuk makanan kambing-kambing saya. Hasilnya sama dan tak menghampakan. Mesin ini menggunakan kuasa elektrik dan berputar menggunakan motor elektrik. Matanya pula dalam bentuk bilah-bilah gear.

Di sini saya muatkan beberapa keping gambar benih rumput napier yang saya perolehi dari napier yang saya tanam sendiri. Kini saya tak perlu mendapatkan bekalan dari luar lagi memandangkan saya sudah berjaya menghasilkan benih rumput napier sendiri. Saya juga bercadang menjual benih tersebut jika ada permintaan.

Napier yang dituai  hasil  dari tanaman saya sendiri...

Segar.....benih rumput napier yang siap dipotong.

Napier yang sudah siap untuk ditanam semula....

Mesin penghancur rumput napier jenama LEO...import.

Pandangan depan....siap ada roda.

Pandangan sisi...

Pandangan atas..

Bilah-bilah mata pemotong.

Garam bukit / jilat....dipesan dari Agro As-Sakinah.

Dijadikan sebagai makanan tambahan.

Dibeli 6 ketul, masih berbaki 4....tahan lama.


Dalam entri ini saya tidak dapat muatkan makanan berasaskan baja untuk kambing saya memandangkan makanan tersebut baru sahaja habis. Saya tak sempat mengambil gambar untuk baja tersebut unuk saya paparkan. Insya Allah, entri akan datang saya akan paparkan. Bagi makanan ini, setakat ini saya telah menggunakan dua jenis baja. Yang pertama berasaskan hampas soya. Saiznya lebih besar dan kasar. Yang kedua berasaskan daun-daun dan isirung buah sawit..harganya mahal iaitu mencecah RM100 satu beg.

Untuk masa yang akan datang, saya akan muatkan gambar-gambar terbaru kambing-kambing di kandang Agro Tani D'Villa dan aktiviti terkini saya. Selamat berjumpa kembali....wassalamualaikum....

Aktiviti Bergambar Sebelah Petang Di Kandang Agro Tani D'Villa

Sabtu, 23 Februari 2013

Petang ini saya telah pergi ke tempat di mana saya menanam rumput napier saya sebelum ini. Saya membersihkan kawasan yang sebelumnya saya tanam dengan pokok-pokok jagung. Rumput rumpai dibuang menggunakan parang panjang. Akhir sekali barulah saya tanam dengan benih napier yang saya potong semalam. Di bawah merupakan benih napier yang selesai saya tanam. Ada 82 batang jumlah kesemuanya.

Napier yang siap ditanam.

Napier di tanam sebaris.
Berikut pula gambar-gambar napier yang saya tanam pada Disember 2012 yang lepas. Kini, ia dah tumbuh tinggi dan sesubur dalam gambar ini. Rumput napier ini dah beberapa kali saya potong. Saya pilih napier yang cukup matang sahaja sebelum ditebang.


Subur...beginilah napier saya yang dah matang.


Ini pula napier yang telah saya pilih dan dipotong.

Sedia untuk dimasukkan ke dalam mesin penghancur.

Ini pula gambar rumput-rumput napeir yang telah dihancur halus dengan mesin penghancur sebelum dihantar ke kandang untuk makanan kambing.




Gambar-gambar ini pula menunjukkan imej kambing yang sedang makan rumput napier yang telah dihancur. Rumput napier ini dimasukkan ke dalam palung makanan yang saya buat dari bekas salur air hujan.

Boer sedang makan....

Kambing kampung nampak selera makan rumput napier yang dipotong.

Kandang kotor sedikit akibat tanah becak kena hujan..


Gambar-gambar ini pula adalah gambar anak-anak kambing Boer + Kampung, dan anak Boer yang berusia 2 minggu selepas kelahirannya.

Anak Boer + Kampung

Masa ambil gambar , kambing ni toleh sebelah lain pulak....


Induk dia kotor  akibat tanah becak.

Anak Boer yang original....tengoklah boot saya yang kotor akibat tanah becak.

Fizikal boer ni dah nampak tinggi dan panjang...

Cuba nak makan saki baki rumput dalam bekas makanan....


Tengok saudara dia makan rumput.....yang ini berusia hampir 1 tahun.



Tinggi anak boer ini dah nak sama dengan kambing katjang ini.

Ini pula gambar induk Boer meragut di dalam pagar selepas tengahari...

Meragut seorang diri sahaja...yang lain duduk dalam kandang....





























Ahad, 10 Februari 2013

Agro Tani D'Villa (Kambing Bunting)

Kambing Bunting.


Kambing-kambing induk iaitu berjumlah 2 ekor di kandang Agro Tani D'Villa dilihat telah berpacaran dengan kambing boer. Jangkaan saya kedua-dua kambing ini telah bunting berdasarkan pengamatan saya terhadap tabiat kambing-kambing tersebut di kandang. Saya jangkakan kambing-kambing ini akan melahirkan anak pada Bulan Februari 2013. Saya juga telah ditanya oleh pemilik asal boer saya, sudah beranak atau belum boer tersebut. Saya memberitahu jangkaan saya kambing-kambing ini akan beranak pada Bulan Februari.

Berita Gembira dan Sedih

Saya teruja untuk menunggu kambing-kambing ternakan di kandang Agro Tani D'Villa melahirkan anak masing-masing. Saya menjangkakan kambing-kambing ini akan lahir di penghujung Februari, rupa-rupanya kambing tersebut beranak lebih awal daripada apa yang saya jangka. Ketika saya menonton TV tengok filem Hindi, saya terkejut apabila mengetahui kambing boer saya telah selamat beranak. Ketika itu saya jenguk dari tingkap rumah, saya ternampak seekor anak kambing boer duduk di sebelah induknya. Rupa-rupanya kambing boer saya telah beranak, tak sedar saya dengan kelahiran tersebut. Apabila saya masuk ke kandang, bulu anak kambing tersebut sudah kering...terlepas tengok kambing ini melahirkan anak. Yang bestnya, anak kambing boer ini menyerupai bapanya dengan dari kepala hingga ke leher berwarna hitam, dan badan berwarna putih.. Anak boer ini selamat dilahirkan pada petang Sabtu, 9 Februari 2013 sekitar jam 4.15 petang sehari sebelum Tahun Baru Cina. Berat anak boer ini pula sebanyak 2 kilo 600 gram, dan jantinanya adalah jantan. Mulai dari saat itu saya kelam kabut membuat sempadan khas untuk ibu dan anak boer ini supaya tidak diganggu kambing-kambing lain. Dawai mata punai saya lapik di atas lantai untuk elakkan kaki anak boer tersepit.

Keesokan hari saya dapati boer jantan kelihatan tak bermaya. Sebelah pagi saya lihat boer tersebut berjalan menyeretkan kaki hadapan sebelah kiri. Setelah diberi makan rumput napier yang saya potong gunakan mesin, boer tersebut duduk dan baring. Sampai sebelah petang saya dapati boer tersebut masih baring, dan tak mampu angkat sendiri. Saya kesian tengok boer tersebut mengembek dan tak mampu angkat sendiri. Mungkin kakinya patah atau terseliuh akibat terjatuh. Takut dengan perkara yang tidak diinggini daripada berlaku, saya tekad nak sembelihkan sahaja kambing boer tersebut. Dengan bantuan abang saya, dan abang ipar, petang tu juga kami sembelihkan kambing tersebut. Memang sedih tengok kambing tersebut terpaksa disembelih, tapi apa kan daya takut ia mati percuma. Jumlah nya baru nak bertambah seekor semalam, namun berkurang seekor pula hari ni. Tak apa, saya cakap dekat abang-abang, ipar dan biras saya anggap saja itu sebagai zakat ternakan. Setelah selesai daging kambing tersebut dilapah, saya sedekahkan kepada adik-beradik saya, ipar, biras dan juga jiran saya daging tersebut. Selebihnya dalam 4 kg saya simpan sendiri. Ada juga jiran saya membeli daging tersebut sebanyak 1kg, dapatlah harganya sebanyak RM24.

Induk beranak lagi.

Keesokannya pula saya dapat berita gembira sekali lagi. Induk kambing kampung saya yang turut bunting telah selamat melahirkan anak yang baharu. Kelahiran tersebut juga saya tak sempat saksikan. Beberapa minit setelah beranak, baru saya sedar kambing tersebut melahirkan anak. Saya sedar setelah saya jenguk dari tingkap dan saya dapati ada saluran peranakan anak kambing tersebut masih tergantung di belakang induknya. Saya bergegas ke kandang untuk melihat anak kambing tersebut. Baru saja dilahirkan, badannya masih lagi basah-basah. Saya pindahkan kambing tersebut di tempat induk boer dua hari yang lepas supaya kakinya tidak tersepit di celah-celah lantai. Yang bestnya walaupun induknya kambing kampung, tapi anak yang dilahirkan menyerupai bapanya yang saya sembelih semalam. Berbulu putih dan berwarna coklat dari kepala hingga ke leher. Jantinanya belum saya dapat pastikan sehingga entri ini ditulis. Kambing ini dilahirkan kira-kira jam 10 pagi, 11 Februari 2013 iaitu selang sehari selepas kelahiran anak kambing dari induk boer. Saya bersyukur, inilah dikatakan sebagai rezeki pemberian Allah. Hari sebelumnya lahir seekor anak boer, esoknya bapanya pula disembelih untuk elak kematian percuma. Alhamdulillah, keesokannya pula lahir seekor anak baka boer dari bapa yang sama, walaupun induknya adalah kambing kampung...Ia menjadikan kambing saya berjumlah 6 ekor kesemuanya. 4 dewasa, dan 2 anak..Insya Allah, dalam entri seterusnya saya nyatakan berat anak dari baka boer ini...wassalam....

Sekapur Sirih....

Assalammualaikum dan salam 1 Malaysia....

Blog Agro Tani D'Villa baru ditubuhkan pada 10 Februari 2013...Ianya sebagai perkongsian wadah buat rakan-rakan tani dari seluruh Malaysia, baik dalam aktiviti penternakan mahupun aktiviti pertanian. Dalam entri yang pertama ini saya akan kongsikan kepada rakan-rakan mengenai hobi saya selama ini iaitu menternak kambing..

    Bercerita mengenai ternakan kambing ini, saya telah berjinak-jinak di bidang ini lewat akhir tahun 2008. Ketika itu saya membeli sepasang kambing kampung dewasa dari penduduk di kampung saya juga..setelah sestashun memelihara, kambing tersebut selamat melahirkan seekor anak...namun tak beberapa lama lepas tu ianya mati,entah kenapa saya pun tak pasti. Kemudian, bunting lagi namun anak yang dilahirkan mati beberapa bulan selepas tu setelah terjerut tali untuk menambatnya di tempat meragut. Kambing saya tersebut tak produktif sangat, hanya melahirkan seekor anak sahaja setiap kali kelahiran. Kali terakhir kambing tersebut melahirkan anak pada April 2012. Kali ini ia melahirkan sepasang anak kembar sekaligus, betina dan jantan. Ianya menjadikan anak kambing dari induk tersebut telah dilahirkan adala'h berjumlah lima ekor. 

September 2012

Sepanjang bulan puasa, saya mengupah jiran untuk membina kandang baharu untuk kambing-kambing saya. Di sini bermulalah idea saya untuk mengusahakan ternakan ini secara serius. Timbul juga idea saya untuk menamakan perusahaan ternakan saya ini dengan nama Agro Tani D'Villa, merujuk kepada aktiviti pertanian dan juga penternakan...semoga ia menjadi pemangkin  untuk berjaya sebagai penternak kambing di tempat saya. Berbalik kepada pembinaan kandang kambing tadi, saya telah membelanjakan kira-kira RM5000 untuk membeli bahan tak termasuk upah jiran..setalah siap, saya pindahkan kambing-kambing ini ke kandang baharunya minggu-minggu terakhir puasa Ramadhan. Kesemuanya berjumlah 4 ekor. Induk seekor, dara seekor, dan anak kembar dua ekor. Seronok melihat gelagat-gelagat kambing ini semasa berpindah ke kandang yang baharu.

Syawal 2012

Selepas seminggu beraya, saya mula terfikir untuk menambah jumlah ternakan kambing saya. Banyak tempat di luar dari kampung saya telah saya kunjungi untuk mencari baka kambing yang terbaik untuk dibeli. Malangnya, penternak-penternak yang saya jumpa tidak bersedia untuk menjual kambing mereka. Akhirnya saya cari-cari juga pengusaha kambing di kampung saya sendiri. Alhamdulillah, hasrat saya tertunai apabila seorang pengusaha sudi menjual kambingnya kepada saya. Saya membeli baka kambing boer dari beliau dengan harga RM800 seekor, iaitu boer jantan berwarna putih dan hitam. Isteri saya pula meminta saya supaya membeli seekor lagi iaitu boer betina. Malangnya pengusaha tersebut hanya mahu menjual seekor sahaja untuk kami. Saya bawa balik kambing tersebut dan tempat kannya bersama-sama kambing kampung saya tadi. Tak lama lepas tu, pengusaha tadi telefon pada saya menyatakan dia dah ubah fikiran untuk jual sahaja boer betina miliknya untuk saya. Saya dan isteri gembira mendengar khabar tersebut. Dan sebelah petangnya saya mengambil boer tersebut untuk diletakkan bersama-sama dengan kambing-kambing tadi. Harganya adalah sama iaitu RM800. Ia menjadikan kambing-kambing saya berjumlah 6 ekor kesemuanya.
Inilah keluarga baru dalam kandang Agro Tani D'Villa...sepasang Boer.

Kematian Pertama

Di kandang baharu ini keadaannya lebih luas dan selesa. Namun, keadaan lantai yang agak jarang menyukarkan pergerakan anak kambing..Anak-anak kambing saya yang kembar ini sering terperosok di celah-celah lantai akibat lantai yang tidak sesuai untuk anak-anak kambing. Menyedihkan hati apabila anak kambing betina saya yang baru berusia hampir dua bulan, telah tersepit di celah-celah lantai, dan akhirnya mati akibat mungkin dipijak atau ditanduk oleh kambing boer...ianya menjadikan jumlah kambing saya berkurang kepada 5 ekor sahaja. 


Rezeki Ramadhan 2021

 17.04.2021 perusahaan Sarang walet di Agro Tani D'Villa mula menjual hasil bagi Tahun 2021 pada Tarikh hari ini. Lama tidak update post...